• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Rungutan Peniaga Kini Berakhir

KEMAMAN, 24 Februari - Rungutan dan keluhan daripada peniaga di Medan Selera Kampung Pantai Penunjuk, Kijal kini berakhir setelah longkang air kumbahan di medan tersebut dibina.

Infrastruktur yang baru dibina.

Ianya hasil daripada permohonan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh melalui Ahli Majlis Zon Kijal berserta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ibai dan Pantai Penunjuk yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Pengerusi JPKK Ibai dan Pantai Penunjuk, Zainal Muda ketika ditemui semalam di medan selera tersebut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam pembinaan prasarana tersebut.

Zainal Muda.

"Alhamdulillah, infrastruktur ini telah hampir siap pembinaannya setelah sekian lama ianya menjadi rungutan oleh peniaga di sini.

"Cuma tinggal sedikit sahaja lagi 'finishing' yang perlu diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik oleh MPK ini," katanya.

"Saya ucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk menyejahterakan semua lapisan masyarakat kampung terutama di Kampung Ibai dan Pantai Penunjuk ini," ujarnya lagi.

Sebelum ini sisa air buangan itu disalurkan ke dalam lubang yang digali oleh peniaga di tepi medan selera tersebut di mana baunya agak kurang menyenangkan kepada pengunjung yang datang untuk makan di situ.