RXZ Member 7.0 Sasar 100 Ribu Peserta

KUALA NERUS, 6 Februari – Program himpunan motosikal RXZ Member 7.0 yang akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 23 Ogos depan mensasarkan penyertaan seramai 100,000 peserta dari seluruh negara.

Penganjurnya, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, pihaknya akan mengadakan acara tersebut di lokasi sama disebabkan mendapat  permintaan tinggi daripada orang luar yang mahu perhimpunan itu tetap diadakan di Terengganu.

"Alhamdulillah, tahun lepas acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara. Sebelum ini lebih 90,000 peserta yang datang ke Terengganu.

"Jadi kita sasarkan penyertaan kira-kira 100,000 peserta dari seluruh negara untuk sertai RXZ Members 7.0 pada tahun ini," katanya kepada pemberita.

Mohamad Faizal juga berkata, program himpunan motosikal RXZ Members 7.0  dijangka memberi banyak kelebihan buat Terengganu sendiri, terutamanya dari segi ekonomi.

"Ramai penduduk setempat mendapat manfaat dengan adanya penganjuran himpunan seperti ini terutama pengusaha inap desa dan kedai makan.

"Acara ini dapat memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu, sekali gus menjadikan himpunan ini antara program tarikan pelancongan di Terengganu serta dinantikan setiap tahun terutamanya oleh peminat motosikal," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Faizal menasihati peserta himpunan itu  diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain tidak melakukan kesalahan ekstrem sepanjang perjalanan mereka untuk menyertai RXZ Members 7.0.

"Sebelum program diadakan, kita akan berbincang dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dari segi aspek keselamatan, garis panduan dan sebagainya.

"Kita juga membuat hebahan menerusi media sosial kepada peserta supaya supaya menitikberatkan pematuhan jalan raya dan mematuhi undang-undang sedia ada," jelasnya.
 


Tag: