• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'RXZ Members' : Kerajaan Negeri, Polis Berunding Cari Solusi

KUALA NERUS, 10 September - Kerajaan Terengganu akan terus berunding dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung penganjuran Himpunan 'We Are RXZ Members 5.0'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa menghormati bidang kuasa agensi penguatkuasa termasuk PDRM.

Namun katanya, pihak kerajaan negeri serta penganjur masih mengharapkan pertimbangan istimewa terhadap peserta-peserta yang hadir dari seluruh negara ke program terbabit.

"Tetapi pihak kerajaan tidak boleh melangkaui kuasa pihak PDRM dan kita tidak meminta untuk batalkan sekatan jalan raya sebab itu merupakan bidang kuasa mereka.

"Jadi, kita tidak berlawan dengan polis, cuma mengharapkan pertimbangan jadi rundingan itu terus berlaku.

"Secara dalamannya pihak penganjur memang sudah memaklumkan kepada peserta supaya tidak melakukan perarakan, mematuhi peraturan jalan raya untuk diambil perhatian kepada setiap peserta yang inginn hadir ke program ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Penutup "We Are RXZ Members 5.0" di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai acara berprestij yang telah memasuki tahun kelima itu, Hishamuddin memaklumkan, selama ini pihak kerajaan telah memberikan kerjasama baik terhadap penganjurannya bagi memastikan ia terus diadakan di negeri ini.

"Pihak kerajaan selama telah melibatkan semua pihak termasuk PDRM untuk mengadakan mesyuarat.

"Pihak penganjur juga selama ini telah kerap kali mengadakan kunjungan hormat dan buat perbincangan secara khusus dengan pihak berkuasa.

"Pada saya itu merupakan satu langkah positif daripada pihak penganjur selama ini dimana mereka tidak pernah mengabaikan kuasa yang ada pada pihak berkuasa malah telah memohon bimbingan termasuk meminta nasihat daripada PDRM dan JPJ juga turut terlibat dalam mesyuarat," ujarnya.

Sementara itu pihak penganjur, Mohamad Faizal Mat Ali berkata apa yang berlaku adalah di luar jangkaan pihaknya.

"Saya telah pergi untuk berunding namun apabila berjumpa dengan pihak berkuasa mereka mengatakan bahawa ini adalah arahan, insya-Allah saya cuba bertanggungjawab.

"Sama ada program ini akan terus diadakan atau ini merupakan kali terakhir saya akan cuba fikirkan balik atau macam mana nanti untuk kita meneliti kembali untuk dilakukan penambahbaikan pada masa akan datang,"ujarnya lagi.

 


Tag: