lightning-solid
Berita :
RXZ Members: MBKT Rekod Tambahan 130 Tan Sampah, Kos Operasi Cecah RM40,000
RXZ Members: MBKT Rekod Tambahan 130 Tan Sampah, Kos Operasi Cecah RM40,000
Rohayati Ripin
7 jam yang lepas
286

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merekodkan pertambahan kira-kira 130 tan sisa pepejal sepanjang penganjuran RXZ Members, dengan kos operasi tambahan dianggarkan mencecah RM40,000.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat, berkata kos itu melibatkan pertambahan trip kutipan sampah, bayaran kerja lebih masa petugas serta operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.

Menurutnya, MBKT menyediakan tong sampah di lokasi strategik dan melaksanakan kutipan sisa secara berkala sepanjang program berlangsung.

Bagaimanapun jelas beliau, jumlah pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan tong sampah cepat penuh dan masih terdapat juga segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata walaupun kemudahan telah disediakan.

“Keadaan ini memberi cabaran kepada operasi pembersihan MBKT dan memerlukan tindakan lebih menyeluruh bagi memastikan kebersihan bandar raya dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Lizan berkata, MBKT akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penganjur supaya aspek kebersihan diberi perhatian sejak peringkat awal perancangan program.

“Antara langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah menambah tong sampah dan tong sementara di kawasan tumpuan serta meningkatkan kekerapan kutipan sisa pepejal pada waktu siang dan malam.

“MBKT juga akan menempatkan pasukan pembersihan secara berterusan di lokasi strategik, selain memperkemas pelan pengurusan sisa bersama pihak penganjur,” ujarnya.

Katanya, pada masa sama, kempen kesedaran mengenai kebersihan akan dipertingkatkan melalui media sosial, papan tanda, pengumuman di lokasi program dan kerjasama dengan komuniti RXZ.

Usaha itu tambah beliau, bertujuan menggalakkan pengunjung membuang sampah di tempat yang disediakan, termasuk di kawasan awam sekitar Kuala Terengganu.

Menurut Lizan, MBKT turut menggalakkan sukarelawan dan urus setia program memainkan peranan sebagai Duta Kebersihan.

“Pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah juga akan dipertingkatkan mengikut peruntukan undang-undang kecil yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Lizan berkata MBKT sedang meneliti keperluan memperkukuh syarat kelulusan bagi penganjuran program berskala besar, khususnya acara yang dijangka menarik jumlah pengunjung yang ramai.

Jelas beliau, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai syarat permohonan penganjuran program.

“Syarat itu termasuk pelaksanaan kempen kebersihan oleh pihak penganjur di kawasan program dan lokasi tumpuan awam sekitar Kuala Terengganu.

“MBKT juga akan menilai semula kadar deposit kebersihan atau mekanisme jaminan yang bersesuaian bagi program berskala besar yang berpotensi memberikan impak tinggi terhadap kebersihan awam.

“Matlamat MBKT bukan untuk membebankan penganjur, sebaliknya memastikan setiap program mempunyai pelan pengurusan kebersihan yang jelas dan berkesan.

“Pendekatan ini dapat mengurangkan impak kos pembersihan yang ditanggung pihak berkuasa tempatan dan memastikan imej Kuala Terengganu sebagai bandar raya bersih serta mesra pelancong terus terpelihara,” katanya.

Lizan turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta RXZ Members yang memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi perhimpunan komuniti permotoran.

“Kehadiran saudara dan saudari bukan sahaja menyemarakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan, malah turut mempromosikan Kuala Terengganu di peringkat nasional.

“Namun, kebersihan bandar adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau menyeru setiap peserta RXZ Members supaya menjadi duta kebersihan dengan menunjukkan contoh yang baik serta memastikan setiap lokasi yang dikunjungi kekal bersih, selamat dan selesa.



Tag :

Artikel Berkaitan