• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sagu Hati Untuk Warga Pusat Kuarantin DITC

KEMAMAN, 8 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat melawat serta menyampaikan cenderahati untuk diberikan kepada 35 petugas barisan hadapan dan 51 orang yang dikuarantin di Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, hari ini.

Beliau turut berharap dan berdoa agar mereka yang dikuarantin itu tabah dalam menghadapi ujian ini.

"Kami yang di luar ini sentiasa mengharapkan mereka yang dikuarantin ini termasuk teman-teman saya berada dalam keadaan baik dan keputusan ujian saringan COVID-19 negatif," ujarnya.

Hanafiah juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya di Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan semua pihak yang terlibat dalam melancarkan segala urusan di sana.

"Saya mengharapkan segala jasa dan pengorbanan kalian mendapat ganjaran yang baik daripada Allah S.W.T," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan 86 bungkusan mengandungi makanan dan minuman sebagai tanda cenderahati. 

DITC sekali lagi dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khas COVID-19 di daerah Kemaman dan ianya mula beroperasi sejak 6 Oktober dengan jumlah setakat hari ini seramai 51 orang dikuarantinkan di sana.


Tag: