• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sambut Baik Cadangan Suntikan Vaksin COVID-19

DUNGUN, 28 Disember- Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 bagi menghentikan penularan wabak berkenaan.  

Bagaimanapun katanya, orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengamalkan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan sebagai usaha memerangi pandemik itu.

"Ianya suatu langkah yang baik menghentikan penularan wabak berkenaan, kerajaan dalam suatu kenyataan menyatakan akan mendapat bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 dijangka diterima pada Mac hadapan, sudah tentu akan memberi suatu pengharapan baru buat rakyat di negara kita ini.

"Sebagai muslim kita tidak boleh berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Di samping itu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan belanjawan bagi meransang kembali pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai sektor yang telah diumumkan bagi memastikan aspek kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin, termasuklah penduduk di DUN bukit Besi ini sendiri yang turut terkesan tatkala wabak pandemik berkenaan melanda," ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media, ketika menyerahkan Kalendar 2021 kepada setiap wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk diagihkan kepada seluruh penduduk DUN Bukit Besi, di sini, hari ini.


Tag: