• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Sambut Hari Hutan Antarabangsa Di Puncak Berembun

Peserta cabar diri mendaki CBL sempena Hari Hutan Antarabangsa.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 10 April- Sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengadakan program pendakian ke Gunung Cemerung Berembun Lansir (CBL) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Rahim Rani berkata, program tersebut merupakan susulan sambutan Hari Hutan Peringkat Negeri yang disambut pada 28 Mac, baru-baru ini.

"Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kepekaan masyarakat berhubung kepentingan melindungi hutan selain memberi kesedaran tentang hubungan alam dengan kehidupan kita.

“Tema ‘Hutan dan Pendidikan’ yang diangkat tahun ini adalah bertepatan dengan usaha kita meningkatkan kefahaman untuk bersama memulihara dan memelihara kawasan hutan," jelasnya ketika ditemui pemberita di Kem Lansir yang berketinggian 801 meter dari paras laut, di sini, baru-baru ini.

Turut menyertai pendakian CBL, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad (GPB), Dato' Nadza Abdul dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Program anjuran bersama GPB dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT) itu turut disertai lebih 55 pendaki terdiri daripada kakitangan GPB dan Jabatan Perhutanan.

Keindahan CBL mampu tarik ramai pendaki berkunjung.

Aktiviti selama tiga hari dua malam memberi pengalaman baru kepada para pendaki yang berjaya menawan puncak Berembun setinggi 1038 meter dengan memakan masa enam hingga 10 jam pendakian.

Dalam pada itu, Ghazali turut merakamkan kegembiraan terhadap aktiviti yang diadakan di kawasan Bukit Besi.

"Secara tidak langsung, ia memberi impak yang positif dalam usaha kita menjadikan Bukit Besi sebagai kawasan pelancongan yang terkemuka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah PESAKA Terengganu Berhad turut berharap kerajaan memberi fokus utama kepada Hutan Lipur CBL dengan melakukan penambahbaikan dan meningkatkan promosi kepada umum.

“Apabila kawasan ini semakin terkenal dan menjadi tumpuan, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya.



Tag: