MARANG, 18 Oktober - Penghayatan Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini mampu membangunkan jati diri umat Islam agar menjadi ummah yang berkualiti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sambutan pada kali ini mengangkat tema bersesuaian dengan keadaan dan suasana yang dihadapi oleh kita semua pada waktu ini.
"Tema ini mengajak kita menjadikan manhaj rabbani sebagai panduan kehidupan seharian, dan seterusnya dapat melahirkan ciri-ciri ummah yang berkualiti bukan sahaja di negeri ini bahkan dipersada dunia," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1443H/ 2021M.
Tambah Dr. Samsuri, kekacauan yang berlaku di serata dunia pada hari ini berpunca daripada pengabaian terhadap manhaj rabbani dalam kehidupan umat Islam.
"Perkara paling awal yang perlu dititikberatkan dalam manhaj rabbani adalah ilmu, ini bertepatan dengan perkara pertama yang diwahyukan kepada baginda Rasulullah S.A.W iaitu baca ataupun Iqra'.
"Kita dapat melihat betapa pentingnya ilmu dan Islam dalam kehidupan sehingga mengangkat darjat kaum jahiliah di padang pasir menjadi salah satu kuasa besar dunia," katanya.
Jelas Dr. Samsuri, perpaduan adalah faktor utama dalam kemakmuran sesebuah negara pada era ini.
"Rakyat mestilah melihat dari setiap sudut bahawa perpaduan yang dicapai pada hari ini merupakan hasil dari hubungan yang erat antara kaum dan agama serta menolak segala anasir yang boleh memecahkan antara satu sama lain.