Sang Penyu Masih Bermandi Pasir

Sumber foto: FB Terengganu FC

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Disaat pasukan-pasukan ternama Liga Super Malaysia sedang sibuk mengejar pemain-pemain yang telah 'dibebaskan' bagi memperkukuh saingan musim hadapan, Terengganu FC masih menyepi.

Ibarat sang penyu yang sedang bermandi pasir sebelum bertelur, geraknya amat perlahan seakan-akan kaku.

Sementelah, bayang ketua pegawai eksekutif (CEO) pun masih belum kelihatan, bagaimana agaknya persediaan gergasi kesayangan rakyat Terengganu ini?

Mahu mencabar kejuaraan, atau kekal 'enjoy' seperti musim lalu?

Berdepan pula kekangan kewangan yang menjangkiti hampir semua pasukan di pelbagai peringkat liga, berapa kebal dan 'tebal' Terengganu FC mampu bertahan pada musim depan?

Ditambah keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk membenarkan 15 pemain import bagi setiap pasukan, ke mana arah pasukan? Mengikut atau menongkah arus yang jadi pilihan?

Pastinya ini antara pertanyaan yang bermain di fikiran penyokong-penyokong Terengganu FC. 

Berbaki lebih kurang dua bulan sebelum saingan bermula pada awal Ogos, MFL mengumumkan tarikh perpindahan pemain Liga Malaysia 2025/2026 bermula 9 Jun hingga 31 Ogos nanti.

Tempoh ini dilihat kritikal buat Sang Penyu untuk menetapkan hala tuju dan persiapan pasukan.

Sebarang pemilihan pemain, jurulatih termasuk CEO tentu menjadi tumpuan samada ia mampu 'memujuk' peminat berdarah hitam dan putih untuk kembali memenuhi stadium yang kelihatan semakin kosong dalam beberapa perlawanan terakhir kebelakangan ini.

Segalanya kini sunyi dan sepi, tetapi peminat masih sabar menanti apa keputusan yang bakal disepakati.

 

 

 

 


Tag: