• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Sang Penyu 'Menangis' di Halaman Sendiri

KUALA NERUS, 25 Jun- Terengganu FC terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 4-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA 2023, malam ini.

Bermain di halaman sendiri, Terengganu FC sememangnya memiliki kelebihan apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) turun tanpa kelibat, penjaga gol utama, Kevin Mendoza dan Edison Caion yang dilepaskan, baru-baru ini.

Namun, jaringan Paulo Josue, Romel Morales, Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco berjaya membawa 'The Citizen' ke pentas akhir.

Penjaga gol Sang Penyu, Mohd Suhaimi Husin menghidupkan harapan penyokong tuan rumah apabila menyelamatkan sepakan Matko Zirdum.

Bagaimanapun, Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan penalti mengecewakan lebih 26,000 penyokong yang hadir.

Terengganu FC berpeluang mencetak jaringan awal apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima lorongan Engku Muhammad Nur Shakir melakukan percubaan dari jarak dekat dalam tempoh 52 saat perlawanan bermula.

Namun, bola muntah yang ditampan penjaga gol muda, Muhammad Azim Al-Amin gagal disambar Sony Norde.

Pada minit ke-8, anak-anak buah Bojan Hodak mendebarkan penyokong tuan rumah apabila sepakan sudut Paulo Josue tidak berjaya dikeluarkan pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun, rembatan Sebastian Avanzini sekadar menggegar sisi gawang.

Tuan rumah menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu pelawat, tetapi beberapa percubaan yang dihasilkan dinafikan penjaga gol bawah-23 kebangsaan itu.

Pada minit ke-38, KL City sekali lagi berpeluang mencipta kejutan apabila Tcheche Kipre yang menerima hantaran T. Saravanan, melakukan 'set' dihadapan pintu gol, bagaimanapun rembatan Paulo Josue sekadar melambung tinggi.

Pada masa tambahan, satu serangan balas oleh Sang Penyu melepaskan Ivan daripada perangkap offside, sayangnya rembatan penyerang tinggi lampai itu ditangkap kemas Muhammad Azim.

Pelawat yang terancam dengan serangan itu, melakukan transisi pantas menyerang dari sebelah kiri.

T. Saravanan dapat melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri, tetapi tidak berjaya disudahkan Zhafri Yahya.

Keputusan kekal tanpa jaringan di separuh pertama.

Bersambung babak kedua, 'The Citizen' menukar 'gear' dengan lebih banyak menguasai bola.

Tomislav memasukkan Nik Muhammad Sharif, Jordan Mintah dan Mohd Faiz Nasir bagi menyuntik ketajaman serangan.

Pada minit ke-72, Nik Sharif melakukan rembatan dari luar kotak penalti setelah melepasi kawalan pertahanan, namun ditangkap kemas Muhammad Azim.

Tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga wisel dibunyikan, mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan kedudukan 0-0.

Bersambung masa tambahan, Terengganu FC agresif memecah kebuntuan jaringan.

Pada minit ke-100 rembatan Nik Sharif sekali lagi dinafikan Muhammad Azim.

Lima minit kemudian, Faiz Nasir berjaya memasuki 'box' lawan sebelum melepaskan rembatan yang ditepis penjaga gol.

Terengganu FC mengharungi separuh masa kedua tanpa bantuan Sony Norde yang mengalami kecederaan dengan lebih banyak bertahan.

Bagaimanapun, wisel penamat dibunyikan dan kebuntuan jaringan berterusan menuju penentuan sepakan penalti.

Kecemerlangan Muhammad Azim yang menyelamatkan sepakan Nik Sharif dan Liridon menamatkan impian Terengganu FC untuk ke pentas akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: