• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sanitasi Awam Bakal Diteruskan Bagi Kekang Penularan COVID-19

 

MARANG, 26 Julai - Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bakal meneruskan program sanitasi awam dan nyahcemar di seluruh negeri dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin meningkat dalam tempoh terdekat. 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Sri Dr Ismail Abd Mutalib, berkata walaupun sebelum ini pihaknya telah melakukannya secara menyeluruh ketika bermula wabak pandemik ini namun bagi menghalang peningkatannya, ia akan diteruskan seperti sebelum ini. 

“Sebelum ini kita dah buat secara menyeluruh ketika bermulanya wabak  ini sehingga pelajar nak balik pun kita buat sanitasi termasuk bas mereka namun apabila keadaan dilonggarkan sedikit , masyarakat mula lalai , COVID-19 mula menular kembali pada hari ini.

“Kita ada bincang mengenainya dan memutuskan akan meneruskan kembali proses sanitasi ini bagi menyekatnya kerana kita tak nak ia menular kembali.

“Jika sanitasi dan nyahkuman ni menjadi salah satu faktor yang boleh menyekat penularannya, kenapa tidak kita teruskan sahaja,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/ 2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Dato' Mohammad Hamdan Wahid, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Sementara itu, Dr Ismail  juga berkata pihak Bomba juga akan mengambil tindakan segera untuk melakukan proses sanitasi dan nyah kuman terhadap kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah. 

Selain itu, katanya, ini termasuklah  membimbing pihak sekolah tentang kepakaran untuk proses nyah kuman untuk dilakukan oleh mereka. 
 


Tag: