• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SAP Tarikan Baharu Di Setiu

SETIU, 10 Ogos - Setiu Adventure Park (SAP) merupakan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) baharu yang diperkenalkan penduduk setempat dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu, Jenoba trading & Servive dan MZ Global Outdoor Service.

Antara aktiviti utama yang menarik adalah berkayak, berkhemah di Sungai Langkap manakala di Sungai Ulu Kasar pula pelancong boleh mencuba 'flying fox' dan juga disediakan tapak perkhemahan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata para pengunjung sewajarnya mencuba produk pelancongan baharu itu serta menikmati keindahan panorama semulajadi yang pasti menenangkan jiwa dan sesuai untuk percutian keluarga.

"Tempat ini telah diberi suntikan pembangunan oleh pihak Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) yang mana peruntukan sebanyak RM480,000 telah disalurkan ke pihak Majlis Daerah Setiu untuk infrastruktur seperti pembinaan jalan, surau, wakaf dan juga gerai untuk penduduk berniaga.

"Bagi kami peruntukan ini agak besar bagi membangunkan tempat yang sebelum ini kosong, kita juga telah menerima peruntukan daripada Jabatan Pelancongan sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua tempat ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran CBT Setiu Adventure Park, di Kampung Langkap & Lata Ulu Kasar yang telah disempurnakan oleh Setiausaha kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, di sini, baru-baru ini.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, setelah CBT tersebut dikenali ramai pastinya manfaat dan impaknya akan terpalit kepada semua pihak untuk menerima limpahan ekonomi terutamanya penduduk setempat.

"Bukan sahaja nama kampung akan tersohor malah boleh menjana pendapatan hasil jualan pelbagai gerai, ia akan turut memberikan peluang pekerjaan kepada komuniti dalam perusahaan pelancongan, barangan dan perkhidmatan yang disediakan kepada pengunjung.

"Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk ini sentiasa terpelihara, kekal dengan keindahan serta keunikan yang dimiliki ini dan perlu untuk sentiasa menjana idea baharu yang relevan bagi mempergiatkan lagi promosi tempat ini dalam usaha menarik seramai mungkin pelancong ke sini," katanya.