• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sarapan Pagi Percuma Untuk Penduduk Memerlukan

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Surau Jalan Tekukur dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur mengambil inisiatif menyediakan sarapan pagi percuma kepada masyarakat yang memerlukan pada setiap pagi Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya sangat teruja dengan usaha baik JPKK dan berharap agar ia dapat meringankan sedikit beban mereka yang terkesan ekoran pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2.

"Orang ramai yang memerlukan boleh ambil untuk keluarga, maknanya tidak perlu risaulah setiap hari Jumaat untuk makan pagi," katanya yang ditemui di Surau Jalan Tekukur hari ini.

Turut bersama meninjau program tersebut ialah Pengerusi surau berkenaan, Shahrom Dayat dan Pengerusi JPKK Jalan Tekukur,  Ahmad Fakrulazizi Abu Bakar. 

Sementara itu, Ahmad Fakrulazizi memberitahu program tersebut diadakan sejak bermulanya PKP 3.0 dan sehingga kini telah masuk enam kali program seumpama itu dilaksanakan. 

"Setiap pagi Jumaat, kami sediakan sarapan pagi percuma, bermacam-macam menu disediakan seperti nasi lemak, laksa, dan mee goreng, jadi hari ini, laksa kuah putih yang kita tempah daripada pembekal di komuniti ini juga. 

"Biasanya kita bermula pukul 8.00 pagi dan pukul 8.30 pagi, semuanya sudah habis.

"Sesiapa yang ingin menyumbang, boleh menyumbang dalam bentuk kewangan, dari situ kita guna untuk membeli makanan tersebut," katanya.


Tag: