• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Sate Jabi Sejuk Beku Untuk Pasaran Lebih Luas

Ahmad Razif mengagihkan sumbangan kepada Kelab Ibu Tunggal. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Kerajaan negeri menggesa pengusaha sate di negeri ini terutama di Jabi, Besut mengeluarkan produk secara sejuk beku supaya dapat meluaskan pasaran sehingga ke luar Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kaedah berkenaan dilihat sangat berpotensi untuk memenuhi permintaan pasaran dan mampu menembusi hingga ke luar negara.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila Terengganu Kitchen (T-Kitchen) mampu memasarkan  lebih 50,000 paket nasi dagang dan keropok lekor  ke pasaran antarabangsa sejak diperbaharui menjadi sejuk beku.

“Produk tersebut kini boleh didapati di dua buah negara luar iaitu di Australia dan Singapura selain terdapat di Kuala Lumpur.

“Saya juga difahamkan pengusaha sate dan otak-otak turut menambah baik keluaran menggunakan kaedah yang sama..Reaksi pelanggan terutama di Kuala Lumpur dan Johor sangat positif, kebanyakan mereka hanya membuat pesanan melalui dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat di Jabi, Besut, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut memberitahu, cadangan mahu memasarkan sate secara sejuk beku itu juga memerlukan kajian terperinci oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Katanya, konsep yang mahu diketengahkan adalah menggunakan resipi dan ramuan sama dan mengekalkan kualiti rasa walaupun diperbaharui menjadi sejuk beku.

“Kerajaan  serius mahu membantu pengusaha sate di negeri ini termasuk mereka yang mengusahakan secara-kecil-kecilan di rumah agar dapat menambah sumber pendapatan,”katanya.




Tag: