• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Satu Juta Benih Anak Ikan Di Tasik Kenyir Setiap Tahun

 

HULU TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membekalkan satu juta benih anak ikan setiap tahun dalam usaha memulihara sumber berkenaan di Tasik Kenyir.

Menterinya, Dato' Seri Dr. Ronald Kiandee berkata ia menunjukkan keprihatinan  yang serius kementeriannya dalam memajukan Tasik Kenyir di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Jelas beliau, ia juga bertujuan bagi meningkatkan stok ikan darat dan sumbernya dalam menjamin bekalan makanan serta meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan juga tasik. 

"Dijangkakan projek sebanyak  satu juta benih ikan akan diusaha untuk ditaburkan di tasik ini pada setiap tahun oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

"Jadi pusat-pusat penternakan benih ikan yang ada di negeri ini dan di negeri berdekatan akan dijadikan penternakan khusus untuk pengeluaran benih bagi satu juta benih ikan untuk Tasik kenyir setiap tahun," katanya.

Ronald Kiandee

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Libat Urus  bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Ketengah, Dato' Razali Idris, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Dato' Munir Mohd Nawi dan Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Sementara itu, sebanyak 25,000 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan iaitu 500 ekor ikan kelah, 500 ekor ikan temoleh, 1,000 ekor ikan sebarau, dan 23,000 ekor ikan lampan ke Sungai Leban yang diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Pahang. 

Terdahulu, seramai lapan orang penerima daripada Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang terdiri daripada nelayan darat menerima bantuan berupa jaket keselamatan dan tong insulasi.

Ronald berkata bantuan ini disalurkan khusus bagi memperkukuhkan program dan aktiviti perikanan berkelompok yang dijalankan oleh setiap myKP yang memohon.

"Bantuan individu ini juga mampu meringankan bebanan kumpulan sasar terutama nelayan darat yang terkesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini,"tambah beliau.


Tag: