• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Satu Lagi Projek Rumah Terbengkalai Berjaya Dipulihkan

SETIU, 3 Oktober - Wajah ceria dan lega jelas terpancar pada wajah pembeli rumah Taman Seri Buchu, Batu Rakit apabila mendapat kunci rumah mereka selepas menanti 11 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, projek melibatkan 106 buah unit rumah tersebut diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai atau sakit yang sepatutnya siap pada 2012.

“Untuk rekod, pemaju sebelum ini telah diberhentikan kerana gagal menyiapkan projek pada masa yang ditetapkan, alhamdulillah pemajua baru atau pemaju penyelamat mengambil alih projek ini.

“Sehinggalah pihak pembeli bermuafakat di bawah satu Badan Bertindak dan merunding bersama pelbagai pihak termasuk pemaju penyelamat iaitu Kencana.

“Pada 29 Julai lepas, Sijil Layak Menduduki (Certificate Of Fitness For Occupation) telah berjaya dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan hari bersejarah ini telah diadakan,” katanya ketika ditemubual selepas Majlis Penyerahan Kunci Taman Seri Buchu di Batu Rakit di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr Alias juga, usaha baik persatuan perumahan itu dan pemaju dalam menyiapkan rumah yang sebahagian besar pembeli daripada kakitangan kerajaan telah pencen sangat bermakna.

“Di peringkat kerajaan negeri, kami membantu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta dalam kemampuan bidang kuasa yang ada setelah menerima aduan daripada pihak pembeli yang terpaksa membayar hutang bank begitu sahaja walaupun rumah dibeli terbengkalai.

“Muafakat ini adalah penting dalam menukarkan nasib 11 tahun menunggu serta dipotong gaji, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan sebab ia melibatkan sektor swasta, punca kejayaan atas usaha pembeli sendiri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Abdul Rahman Bakar, 50, menyuarakan rasa terima kasih kepada semua pihak apabila mendapat rumah milik sendiri buat kali pertama sejak menunggu pada tahun 2013.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada persatuan pembeli, Tenaga Nasional Berhad, Pejabat Daerah Tanah Kuala Nerus dan lain-lain lagi,” jelas bapa kepada empat orang anak itu.