• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'

 

Oleh: Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 5 September- “ Bagai mati hidup semula…tiada kata yang dapat digambarkan perasaan ketika dibebaskan dari penjara. Saya sedar, kasih sayang Allah terlalu agung untuk saya kenang, betapa Dia masih memberi peluang untuk saya,” demikian luahan Ahmad ( bukan nama sebenar).

Ahmad adalah di antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini.

Mengimbas kembali detik pembebasannya, Ahmad berkata, pada 16 Ogos lalu, dia dipanggil oleh pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat.

“ Saya membaca satu persatu baris ayat di surat itu, sehinggalah pada baris terakhir yang menyatakan rayuannya diperkenankan. Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur.

“Sampai sekarang, saya masih tak percaya, ibarat mati hidup semula. Tetapi saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang amat besar ini dan saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi saya peluang keemasan ini,” ,” katanya, sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut.

Ahmad kelahiran Hulu Terengganu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.

Ahmad telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada tahun 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008, dan akhirnya ada 17 Ogos lepas, beliau dibebaskan.

Menurut Ahmad, dia merasai pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang dipenjarakan dari Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, sehingga ke Penjara Marang.

“Banyak susah dan pahit yang saya rasai semasa dipenjara selama 20 tahun ini. Ia benar-benar mengajar saya tentang erti kehidupan. Tak mungkin saya mahu kembali lagi setelah apa yang telah dilalui,”ujarnya lagi.

Selain itu, beliau juga akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya.

"Rutin harian saya membaca al-Quran pada setiap hari, paling kurang dua kali sebulan mesti khatam. Saya akan cuba bahagikan masa untuk meneruskan amalan harian saya dipenjara itu seperti biasa,selain puasa sunat isnin dan khamis.

“Cukuplah apa yang sudah berlaku. Saya sekarang mahu mencari ketenangan bersama keluarga dan masyarakat. Saya bersyukur kerana masih diterima dan disayangi keluarga,” katanya yang juga mahir membuat perabot ketika di penjara.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan dalam masa terdekat, Ahmad berkata, beliau berhasrat menceburi bidang penternakan.

"Saya berminat untuk menternak lembu dan ingin memulakannya dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim hari ini.

Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Ahmad ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda.

"Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Ahmad.

"Semoga perkongsian daripada Ahmad itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda itu supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Ahmad dalam memulakan kehidupan yang baru.

“Insya Allah kita akan cuba bantu dengan memberikan lembu untuk Ahmad yang berhasrat untuk membabitkan diri dalam bidang penternakan,”katanya.