• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Saya Masih MB Terengganu, Biar Polis Siasat Fitnah'

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - "Saya masih lagi Menteri Besar (MB)Terengganu sehingga pagi ini ," demikian kata Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, perkara tersebut tidak perlu diulas lagi kerana ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci berkenaan spekulasi pergolakan politik yang membabitkan dirinya dengan pihak istana Terengganu mengenai jawatan MB.

"Bangun pagi ini, masih lagi seorang MB, walaupun setiap jam ada sahaja gambar tentang 10 orang bakal MB baharu.

"Rasanya perkara ini tidak perlu ditimbulkan lagi, biarlah polis jalankan siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat kediaman mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai diminta untuk menghentikan spekulasi tentang politik di Terengganu dan membuat sebaran fitnah tentangnya.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana.

Mengikut laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri  hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan.


Tag: