KEMAMAN, 23 Disember - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf kepada mangsa banjir kerana tidak dapat bersama mereka selama empat hari pada 18 hingga 21 Disember.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu bagaimanapun berkata, beliau membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke luar negara atas urusan keluarga setelah berlaku penurunan mangsa banjir gelombang pertama.
"Saya sentiasa meneliti suasana yang berlaku mengenai banjir di negeri ini dari semasa ke semasa, malangnya semasa gelombang kedua melanda pada 18 hingga 21 Disember saya berada di luar negara.
"Sebenarnya kerajaan negeri dari awal lagi sejak beberapa bulan lalu telah melakukan segala persediaan, ketika bencana melanda kami mengadakan peebincangan meneliti keadaan sungai, air dan isu-isu perpindahan pada setiap hari termasuklah pada 18 hingga 21 Disember.
"Sewaktu ketiadaan saya, saya masih lagi berkomunikasi dengan semua agensi yang terlibat dimana saya tetap boleh membuat keputusan kerana setiap hari berlaku perbincangan dengan ahli-ahli jawatankuasa bencana negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir mendengar taklimat mengenai banjir di Pejabat Daerah Kemaman di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Samsuri memaklumkan, beliau juga telah turun ke lapangan bertemu dengan mangsa banjir fasa pertama bermula 10 Disember.
"Namun, oleh kerana saya tidak dapat bersama dengan mangsa banjir pada 18 hingga 21 Disember Maka saya memohon sejuta kemaafan atas apa yang telah berlaku," ujarnya lagi