• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Scammer Homestay' : Pasangan Suami Isteri Ditahan Polis

KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pasangan warga tempatan berusia 27 dan 26 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Dungun semalam.

“Pada 3 Jun lalu, polis menerima satu laporan bersabit penipuan tawaran rumah inap desa yang tidak wujud.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kuala Terengganu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Dungun pada 8 Jun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut M Zambri, dalam serbuan terbabit pihak polis turut merampas telefon bimbit, kad mesin juruwang automatik (ATM), SD Microkad dan kad sim.

"Kedua-dua mereka yang tidak berkerja kini direman oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari bermula hari ini," katanya.


Tag: