• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sebahagian Guru Tolak Vaksinasi Mula Mahu Divaksin

KUALA TERENGGANU, 22 September - Lebih 100 guru di Terengganu yang menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kini makin berkurangan selepas diberi penerangan dan kefahaman kepada mereka.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, pihaknya sentiasa mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu berkenaan supaya tiada sebarang masalah berlaku apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober nanti.

"Saya difahamkan jumlah guru yang menolak vaksin semakin berkurangan dan pihak jabatan masih terus memberikan penerangan serta kefahaman kepentingan vaksin kepada guru yang masih enggan divaksin.

"Saya tidak berani beri jumlah (guru tolak vaksin terkini) sebab ia sentiasa berubah. Apa pun, kita sentiasa beri peluang kepada mereka dan sekiranya ingin divaksin, boleh pergi ke PPV (pusat pemberian vaksin) bila-bila masa saja secara walk in,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kumpulan guru di negeri itu yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin berkenaan selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini semalam.

Bagaimanapun menurutnya, data terkini baki cikgu yang masih berkeras menolak vaksin masih belum diperolehi.

Sementara itu, Salim berkata, semua sekolah kini bersedia untuk  sesi persekolahan secara bersemuka pelajar sekolah di negeri ini pada 3 Oktober nanti.

Katanya, dianggarkan 17,000 pelajar Tingkatan Lima dan 2,000 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini akan memulakan pembelajaran secara bersemuka nanti.

“Tapi sekiranya ada ibu bapa yang masih keberatan untuk benarkan anak-anak ke sekolah secara fizikal nanti, terpulang kepada mereka dan ia tidak menjadi kesalahan disiplin. Cuma ibu bapa perlu serahkan surat makluman sebagai rekod kita,” katanya.