• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sebatan Syarie Kejayaan Kepada Institusi Mahkamah Syariah

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (kanan) ditemu bual oleh wartawan Isma Web.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU - Sebatan syarie buat pertama kali ke atas pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam merupakan suatu kejayaan yang mengangkat martabat dan kewibawaan institusi mahkamah syariah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya suatu kejayaan kepada hukuman syariah dan pemerkasaan mahkamah syariah di dalam negara yang selama ini sinonim dipandang serong dan diserang oleh pelbagai pihak.

“Saya melihat ia menjadi tumpuan kepada seluruh dunia termasuk Laman Web BBC.COM yang memaparkan isu ini dan menjadi salah satu tajuk penting di dalam laman web mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Isma Web di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (4 September).

Ustaz Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menjelaskan bahawa Negeri Terengganu dan Kelantan yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meletakkan Islam sebagai dasar dan agenda pemerintahan.

"Walaupun hukum hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan kerana halangan daripada kerajaan persekutuan, kita laksanakan undang-undang takzir terlebih dahulu.

"Hukuman takzir tidak boleh melebihi Akta 356 iaitu, 3 tahun penjara, denda RM5000 dan 6 kali sebatan, itulah had yang kita mampu lakukan.

“Pelaksanaan hukuman tersebut bukan bertujuan untuk menghukum kerana itulah roh sebenar kepada perundangan Islam yang hanya bertujuan untuk mendidik.

"Tambahan pula, golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) ini semakin berleluasa di seluruh pelusuk dunia malah setiap apa yang berlaku dan menyentuk hak mereka akan dibela oleh semua pihak yang menyokong mereka," ujarnya.

Tag: