• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sebatan Syarie Pesalah Lesbian: Apa Kata Dato' Seri Mufti?

Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Oleh: Noraini Jusoh

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan hukuman sebatan syarak yang dijalankan di khalayak ramai mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Sebahagian pihak menganggapnya secara negatif dengan mendakwa ianya menghina, dan tiada belas kasihan. Manakala pihak lain mendakwa peraturan itu kuno dan kejam serta akan menjejaskan sektor pelancongan.

Bahkan ada pihak yang percaya bahawa hukuman tersebut adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina yang melanggar larangan terhadap penyeksaan dalam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang ditandatangani Malaysia serta tidak memiliki potensi pemulihan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, terdapat perbezaan ketara antara sebatan syarak dan sebatan sivil.

“Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan.

“Manakala, sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini (5 September).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu sejarah baharu yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu iaitu hukuman sebat terhadap pesalah lesbian yang dibuat secara terbuka yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang awam bagi melihat sendiri pelaksanaan hukuman itu.

Dari segi perlaksanaan sebatan syarak, beliau menjelaskan bahawa kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana dan terdapat beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

“Antaranya, sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

“Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman pula hendaklah adil dan matang. Serta menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah,” ujarnya.

Dr. Zulkifli berkata, pihaknya mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam agar buah hasilnya dalam bentuk keamanan, kejayaan dan keselamatan dapat dirasai bersama.

“Insya-Allah. Sikap dan pendirian kerajaan untuk mewujudkan badan yang menyelaras dalam mempertingkat kedudukan institusi mahkamah syariah amat dialukan.

“Kami juga menyeru agar pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebat syarak untuk menyelidik terlebih dahulu daripada badan berautoriti Islam sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak adil dan menimbulkan perpecahan,” ujarnya.

Tag: