• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri

HULU TERENGGANU, 17 Ogos – Setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya dan tidak semuanya indah bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan  Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang.

"Penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari redha Allah, insya-Allah rumahtangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat. Satu lagi perkara penting yang tidak boleh diketepikan dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga adalah cara berkomunikasi suami isteri.

"Antara tanda rumahtangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh. Isteri yang soleh adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya. Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutup Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 3 anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil yang telah melabuhkan tirainya di Dewan Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Tambahnya lagi, suami perlu bijak mengurus rumahtangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan 'kepemimpinan' dalam rumah tangga.

"Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga.

"Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak. Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam," ujar beliau.

Mengulas lanjut, Maliaman berkata, krisis dan konflik tidak dapat dielakkan, kerana ia  adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga.

"Akan ada badai melanda akan tiba ombak menghentam pantai , maka bersiap sedia emosi dan rohani. Jika tidak akan tenggelam dalam lautan kehidupan yang dalam. Ketika konflik menjengah lazimnya ia tidak memberi sebarang tanda, ia menyapa bagai angin lalu, yang dijangka boleh dielak tetapi yang menjadi krisis dan konflik itu biasanya yang di luar jangka.

"Semoga segala ilmu yang ditimba oleh peserta kursus dapat dimanfaatkan sebagai bekal bagi mereka menempuh alam rumahtangga yang amat memerlukan persefahaman, komitmen, sikap harga menghargai dan kasih sayang serta mawaddah dan rahmah diantara pasangan," katanya.
 


Tag: