• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sedia Bantu Persekolahan Anak Kepada Mangsa Ditembak Mati Suami

HULU TERENGGANU, 11 Mac - 
Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk menanggung perbelanjaan persekolahan dua beradik anak kepada mangsa tragedi pembunuhan di Kota Tinggi, baru-baru ini sehingga ke menara gading.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya akan melihat keperluan kedua anak yang berusia empat dan tiga tahun yang berada di bawah jagaan sementara ibu saudaranya.

"Untuk hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) menyampaikan bantuan segera sebanyak RM300.

"Selepas selesai urusan mahkamah tentang hak penjagaan anak-anak mangsa, bantuan bulanan akan diberikan kepada setiap seorang sebanyak RM250."ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga mangsa bunuh di Kampung Telaga, si sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar.

Sementara itu, kerajaan negeri bersama JKM Terengganu akan membantu memudahkan  proses tuntutan hak penjagaan di mahkamah bagi memastikan keluarga arwah mendapat hak tersebut.

"Ini memandangkan kedua-dua beradik itu lebih rapat dengan keluarga arwah di sini," katanya lagi.

Untuk rekod, suspek kes pembunuhan isteri di Taman Sri Saujana di Kota Tinggi, akan didakwa dalam masa terdekat.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang kerani sumber manusia di sebuah kilang swasta, ditemui dalam tong biru yang dipercayai ditanam suspek berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Papan Timur, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Mangsa berusia 38 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan senapang angin kira-kira jam 2.30 pagi pada 1 Mac lalu, di kediaman pasangan itu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi sebelum mayatnya ditanam.

Rahsia pembunuhan kejam itu terbongkar selepas jiran yang juga rakan suspek menyalurkan maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dibuat.


Tag: