• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Sedia Beri Kerjasama Kepada SPRM Banteras Rasuah - MB Terengganu

Dr.Ahmad Samsuri menyempurnakan gimik perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC),Teluk Kalong, Kemaman.
KEMAMAN, 15 Januari - Kerajaan negeri sedia bekerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap mana-mana laporan yang melibatkan penjawat awam di Terengganu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  integriti penjawat awam merupakan asas utama kerajaan negeri bagi memastikan pentadbiran yang diketuai beliau bersih daripada gelaja rasuah.

Tambah beliau, pihaknya akan memerangi gejala itu yang boleh menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat termasuk memastikan statistik penjawat awam terlibat dalam gejala rasuah dapat dibendung pada masa depan.

"Sudah tentu menjadi hasrat kita untuk meningkatkan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri. Pihak berkuasa membuat siasatan mengikut laporan isu rasuah yang dibuat dan kita sangat terbuka dengan pihak SPRM dalam hal ini dalam usaha memastikan pertadbiran kita bersih daripada gejala rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DITC, Shuhaimi Embong.


Beliau turut mengulas mengenai dakwaan kemungkinan 95 pegawai tadbir kanan kerajaan negeri yang terlibat dalam pertukaran berkuat kuasa 16 Januari adalah susulan isu rasuah melibatkan seorang pegawai daerah di negeri ini.

"Ia tiada kaitan dengan kes rasuah kerana ia datang kemudian selepas senarai pertukaran dikeluarkan dan  itu adalah perkara biasa malah akan ada lagi pertukaran melibatkan pegawai-pegawai tadbir pada Mei dan Jun nanti," kata Ahmad Samsuri.

Jelasnya lagi, pertukaran ini adalah perkara biasa yang berlaku dalam pengurusan apabila melibatkan pegawai yang akan berpencen bagi memantapkan lagi urusan pentadbiran negeri.

Sementara itu, kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air dan akan berbincang dengan Kerajaan Pusat mengenai beberapa perkara berkaitan kemudahan itu.

"Setakat ini kita belum ada keputusan sama ada akan ada kenaikan atau tidak. Kerajaan negeri sedang mendapatkan 'feedback' dari pihak kementerian dan keputusan mengenainya akan diberitahu apabila tiba masa yang sesuai," katanya.


Tag: