• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Segerakan Pembayaran Tanah Premium

DUNGUN, 5 November – Penerima borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Cherong Melintang diharapkan menyegerakan bayaran tanah premium bagi mendapatkan geran kekal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, Pejabat Tanah Daerah (PTD) Dungun memberi tempoh selama tiga bulan bagi menyelesaikan pembayaran tanah itu dan boleh dibuat rayuan lanjutan tempoh selama tiga bulan lagi.

“Jika tidak mampu juga penama bagi penerima tersebut akan terbatal dan PTD Dungun tidak dapat membuat proses mengeluarkan geran kekal kepada yang gagal membuat pembayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Borang RTB Terkilan Cherong Melintang.

Jelasnya lagi, harga sesebuah lot pada 20 tahun dahulu tidak sama macam zaman sekarang.

“Bersyukurlah, saudara hanya membuat pembayaran premium tanah yang hanya bernilai RM1,200 untuk satu lot.

“Tetapi sekarang tidak dapat lagi harga tersebut dan ia mungkin mencapai harga dalam RM72,000 satu lot bagi keluasan sebuah banglo ketika ini,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menasihatkan agar wujudkan jawatankuasa sesama komuniti bagi mendapatkan info-info.

“Penerima akan dimasukkan ke dalam ‘group WhatsApp’ untuk berbincang dan bertanya yang dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

“Di samping penerima dapat berpakat untuk mengadakan pembersihan kawasan tanah yang diterima,” katanya.


Tag: