• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Sekat Royalti Langgar Demokrasi, Susahkan Rakyat Terengganu – Shahril, KJ

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Tindakan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyekat penyaluran dana royalti petroleum milik rakyat Terengganu dilihat sebagai tidak demokrasi dan menyusahkan rakyat.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kerajaan Terengganu merupakan kerajaan yang sah dan ia dipilih oleh majoriti rakyat, justeru sekatan itu adalah tidak wajar.

Katanya, pentadbiran Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhak untuk menuntut royalti itu mewakili rakyatnya dan menentukan bentuk perbelanjaan duit terbabit. 

“(Sekatan pemberian royalti) bukan sekadar hanya menyusahkan rakyat Terengganu, tapi ini soal demokrasi.

“Kerajaan negeri menang 32-0, mereka ada hak untuk tentukan duit itu nak belanja macam mana, bukan mereka perlu ‘request’ (atau nyatakan setiap item) bagi mendapatkan kelulusan Persekutuan untuk membelanjakan duit itu,” jelas Shahril dalam Podcast Keluar Sekejap episode ke-89 bersama Ahmad Samsuri kelmarin.

Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula sependapat dengan Shahril.

“Ini kerajaan yang sah,semuanya akan melalui proses audit,” tegas Khairy.

Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, bayaran royalti bagi tahun 2023 yang masih tidak dibayar secara penuh lebih RM600 juta membantutkan perjalanan kerajaan dan menyukarkan rakyat.

“Saya nak sebut, antara perkara yang sudah dijanjikan kepada rakyat tetapi tergendala akibat sekatan royalti ini adalah pembinaan pusat autisme dan juga pusat Quran braile untuk orang kurang upaya mendalami al-Quran.

“Ini antara contoh selain bantuan-bantuan yang kita salurkan kepada rakyat sebelum ini,” jelasnya.


Tag: