• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Sekolah Agama Rakyat Jadi Produk Pelancongan Islam


KUALA TERENGGANU,15 April – Sekolah Agama Rakyat (SAR) antara satu produk pelancongan Islam yang menarik minat pelancong untuk ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kemajuan institusi pendidikan juga dapat membantu kewangan negeri dan juga rakyat.

“Terengganu terkenal dengan sistem sekolah agama rakyat, sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam, kemudian kita juga ada maahad tahfiz yang tumbuh macam 'cendawan' di negeri ini.

“Pondok ini kalau kita susun molek bila orang luar  datang  ia memberi satu sumber  kewangan  kepada rakyat  Negeri Terengganu dalam sudut pelancongan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian selepas Majlis Symposium On Islamic Tourism 2019 di Hotel Paya Bunga Square, di sini, semalam.

Ariffin berkata, bagi menyelaras semua pusat ilmu itu di bawah sistem pendidikan yang lebih cekap dan tersusun, Kerajaaan Pusat  meminta semua sekolah tersebut berdaftar dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, inisiatif yang diambil untuk menekankan pelancongan Islam menerusi Simposium Islamic Tourism 2019 menjadi satu usaha yang baik.

Katanya, Kerajaan Terengganu mempromosikan semua produk Muslim dan  'sahabat bukan Islam'.

"Kita mempunyai potensi yang besar. Kami dah bincang dengan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Dato’ Seri Abdul Khani Daud supaya membuat program di sini. Program ini  sangat baik dan memberi kesan kepada  pelancongan Negeri Terengganu," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan meneruskan program Madinah Ramadan sebagaimana tahun lalu dan menambah baiknya termasuk mengadakan di setiap daerah sepanjang bulan itu.





Tag: