Jalur Gemilang
Berita :
Sektor Perikanan Terengganu Berada Pada Landasan Kukuh Catat Pendaratan Ikan Tertinggi
Sektor Perikanan Terengganu Berada Pada Landasan Kukuh Catat Pendaratan Ikan Tertinggi
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 21 September - Sektor perikanan Negeri Terengganu berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan prestasi pendaratan ikan yang lebih tinggi bagi tahun 2026 berbanding pencapaian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keyakinan itu disokong oleh data pendaratan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini yang menunjukkan trend peningkatan amat positif.

Menurut beliau, sebanyak 37,011 metrik tan pendaratan ikan telah direkodkan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

"Jika dilihat pada rekod tahunan, pendaratan ikan Terengganu mencatatkan sebanyak 39,856 metrik tan pada tahun 2024 sebelum melonjak kepada 43,481 metrik tan pada tahun 2025.

"Dengan pencapaian semasa sehingga Ogos 2026 yang sudah melepasi angka 37,000 metrik tan, Kerajaan Negeri meyakini jumlah keseluruhan pendaratan bagi tahun ini mampu melampaui rekod tahun 2025," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman menjelaskan bahawa tempoh September dan Oktober lazimnya merupa kualiti musim puncak pendaratan hasil laut yang tinggi di perairan negeri, sekali gus bakal menyumbang secara signifikan kepada jumlah keseluruhan pendaratan tahunan.

Perkembangan positif ini secara tidak langsung membuktikan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam memartabatkan sektor perikanan tempatan, selain memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan