• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Selain Royalti Minyak, Terengganu Giat Jana Pendapatan Baharu

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Dakwaan sesetengah pihak bahawa Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum (wang ehsan) semata-mata adalah tidak benar kerana Jabatan Audit Negara telah mengesahkan Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kebergantungan negeri itu dengan hasil minyak sebanyak empat peratus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, data pada 2018 hingga 2021 berbanding 2014 hingga 2017 merekodkan penurunan penggunaan hasil petroleum dalam perbelanjaan negeri.

“Ini hasil yang kita perolehi, bagi orang luar ia mungkin tak banyak, tetapi kita mencuba di samping terus mencari pendapatan baharu,” katanya dalam audiosiar KeluarSekejap baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata antara usaha yang telah dibuat bagi menjana pendapatan baharu untuk negeri ialah dengan menggubal Enakmen Sumber Air Terengganu 2020.

Katanya, kesan penggubalan itu Terengganu dijangka mampu menjana RM100 juta setahun daripada pelbagai sumber air yang ada.

“Melalui ini kita mengenakan caj pada penggunaan air, bukan sahaja kepada air terawat tetapi juga melibatkan air tak terawat seperti air sungai dan air laut yang digunakan kapal-kapal untuk pembersihan kapal dan apa-apa akitiviti lain.

“Enakmen seumpama ini sebenarnya sudah lama diperkenalkan di Selangor. Sebelum melaksanakan enakmen ini pun kita sudah melakukan libat urus bersama pihak yang terlibat bagi memastikan ia berjalan dengan baik,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Terengganu juga telah menubuhkan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) yang merupakan pusat pengurusan Infrastruktur Utiliti Negeri Terengganu dan merupakan Pusat Sehenti Berpusat untuk permohonan korek gali utiliti.

“Insya-Allah ini akan menjadi hasil tambahan kepada negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, Terengganu juga mempunyai sumber mineral, namun cukai berkaitan bahan itu sudah berbelas dan puluhan tahun tidak dikaji.

“Apabila dibuat perbandingan dengan negeri-negeri lain, Terengganu masih lagi di paras sangat rendah, jadi insya-Allah kita telah buat kajian untuk menaikkan kadar-kadarnya mengikut kesesuaian dan kemampuan rakyat.

“Kadar fi sumber hasil tanah dan hutan umpamanya, sudah berbelas tahun tidak dikaji, kita kaji semula untuk memberikan lebih pulangan hasil kepada Negeri Terengganu.

Bercakap mengenai Unsur Nadir Bumi (REE), Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, berdasarkan data Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Terengganu mempunyai sekitar 44 peratus REE yang belum diterokai daripada seluruh semenanjung.

“Kerajaan sedang meneliti sumber ini dengan cara yang terbaik bermula daripada pemprosesan sumber ‘raw’ walaupun ia agak sukar kerana teknologinya hanya ada di China, kita sedang cari langkah terbaik,” katanya.

 


Tag: