• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Selepas Berpuluh Tahun, Kampung Jerong Ada Internet

MARANG, 19 April – Selepas berpuluh tahun hidup dalam keadaan signal telefon yang lemah dan tanpa capaian internet, ‘derita’ penduduk di sekitar Kampung Jerong, Pengkalan Berangan di sini bakal berakhir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kerja-kerja teknikal menarik kabel ‘fibre optic’ sedang berjalan sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, bagi permulaan, projek yang bermula dari Kampung Bukit Parit dan berakhir di klinik Desa Jerong Seberang itu meliputi laluan melebihi 3 kilometer.

“Selepas ini akan ada beberapa lagi proses lain seperti pemasangan ‘box’ dan sistem, kita jangka akan ambil masa sekitar satu hingga dua bulan untuk sempurna.

“Insya-Allah kemudahan internet berkelajuan tinggi Unifi bermula daripada 30Mbps sehingga 800Mbps akan dibekalkan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. 

Sulaiman Sulong.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, masalah berkaitan signal telefon dan capaian internet menjadi fokus utamanya di kawasan itu sebaik sahaja dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Terlalu banyak aduan yang dibuat penduduk di sini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya sendiri turut beberapa kali membuat aduan.

“Alhamdulillah setelah beberapa perbincangan dibuat bersama pihak terlibat, Telekom Malaysia (TM) sudah memulakan kerja ini untuk kemudahan masyarakat setempat,” ujarnya.

Menurut beliau, sebelum ini rakyat di sini sangat sukar untuk melakukan kerja-kerja harian seperti belajar, mengisi borang bantuan dan urusan peribadi serta keluarga.

“Sehinggakan ada antara mereka terpaksa keluar ke pekan Wakaf Tapai untuk mencari 'line' bagi memberitahu saudara terdekat tentang kematian atau bekalan elektrik di kampung terputus, inilah contoh kesusahan yang mereka tanggung. 

“Jadi semoga dengan penyediaan talian Unifi ini ia akan memudahkan urusan komuniti, khususnya para pelajar dan mereka yang terlibat dalam perniagaan ‘online’.

“Insya-Allah ini adalah permulaan, kita akan luaskan lagi projek ini ke kampung lain di DUN ini yang turut mengalami masalah sama,” tambah beliau.