• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Selepas Berunding, Pemaju Janji Sambung Projek Terbengkalai

KUALA TERENGGANU, 28 April –  Selepas dipanggil berbincang bersama kerajaan negeri hari ini, pemaju perumahan Kampung Gong Cempedak, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd berjanji untuk menyambung semula projek terbengkalai itu sebaik sahaja selesai Aidilfitri nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, komitmen pemaju swasta terbabit memberi sinar harapan kepada 120 pembeli.

“Insya-Allah mereka berjanji untuk memulakan kembali projek ini selepas perayaan Aidilfitri tahun ini setelah isu kewangannya diselesaikan.

“Kerajaan negeri memberi persetujuan untuk membantu semaksimum mungkin bersama Pejabat Tanah dan Daerah Marang melalui beberapa cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak mereka.

“Pemaju ini akan usaha untuk mendapat pembiayaan melalui beberapa kaedah dengan bantuan kerajaan negeri bagi menyiapkan lagi 30 peratus proses pembinaan lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.

Katanya, projek tersebut dianggar memerlukan dana sekitar RM5 juta lagi bagi menyiapkan fasa ketiga yang terdiri daripada 120 unit rumah teres berukuran sekitar 830 kaki satu unit.

Mengulas lanjut faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, Dr Alias memaklumkan, pemaju memaklumkan mereka mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua.

“Pemaju sudah komited kembali dalam menunaikan janji rumah yang selesa dengan harga murah, kita akan pastikan mereka dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, tahun terdahulu pihak kerajaan melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri telah menghantar aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan 100 peratus tanggungjawab pemaju swasta.

Tegas Dr Alias, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.

Jelasnya, projek ini kemudiannya terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan sejak dari itu sehingga 2019.

“Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal kita (kerajaan negeri) pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT).

“Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini (hari ini) bagi menyelesaikan isu tersebut," jelasnya.