• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos- Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan beberapa agensi terbabit akan memuktamadkan kaedah penyelesaian sementara bagi kejadian tanah runtuh di Flat Bukit Kecil sebaik mendapat laporan penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, penyelesaian segera perlu dilakukan sebelum musim tengkujuh kerana dikhuatiri akan berlaku lagi runtuhan yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni di kawasan itu.

Katanya, beliau telah meminta pihak JKR untuk membuat anggaran kos pembaikian segera itu dan dijangka laporan tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

“Untuk menghadapi musim tengkujuh yang akan datang, saya hendak tahu daripada JKR apakah penyelesaian sementara sehingga kita menerima peruntukan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk kerja-kerja pembaikan penuh cerun tersebut.

“Tanah runtuh ini kita perlu buat ‘protection’, jadi saya minta pihak JKR buat anggaran kos dan setelah laporan tersebut siap, kita akan tengok beberapa kaedah penyelesaian yang dapat dilakukan untuk menjaga kepentingan penduduk di sini,” ujarnya kepada pemberita ketika meninjau kawasan runtuhan terbabit bersama wakil JKT dan JKR, hari ini.

Rosli berkata, runtuhan tanah itu berlaku pada musim tengkujuh tahun lalu dan pihaknya telah mengambil tindakan awal sebaik menerima aduan penduduk.

“Kita terima aduan daripada penduduk dan segera kita turun bersama dengan JKR, bomba, polis dan agensi-agensi lain. Pada masa itu, kita ambil tindakan dengan meletakkan kanvas untuk elak berlaku runtuhan lagi.

“Dalam masa yang sama kita telah minta JKR pusat untuk buat penilaian runtuhan yang berlaku dan akhirnya pada Mac lalu, JKR pusat telah turun dan buat penilaian dan mendapati ada dua lokasi runtuhan, satu yang kita nampak sekarang ini dan yang sebelah sana juga ada pergerakan tanah,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan anggaran awal oleh JKR, sebanyak RM3.1 juta diperlukan untuk kos pembaikian cerun ini.

“Tetapi anggaran awal itu perlu dimulakan dengan kerja-kerja penyiasatan terlebih dahulu. Melalui data-data penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan, barulah JKR boleh tentukan skop metadologi dan komponen ‘protection’ cerun tu macam mana,” ujarnya.

Menurut Rosli, pihaknya telah mendapat laporan daripada pihak JKR dan beliau telah memohon peruntukan pembaikian dengan JKT.

“Alhamdulillah, pasukan JKT telah turun hari ini untuk menilai runtuhan yang berlaku dan kita berharap JKR dan JKT dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, punca kejadian tersebut kemungkinan disebabkan hujan lebat yang menyebabkan pergerakan air di dalam tanah seterusnya berlaku runtuhan.

Justeru, beliau meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ternampak runtuhan yang berlaku.