• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Semarakkan Kemerdekaan, Tetap Patuh SOP

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos- Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan rakyat negeri itu supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekalipun ketika merayakan sambutan Hari Kebangsaan ke-63, hari ini.

"Saya difahamkan, malam tadi puluhan ribu rakyat serta pelancong berkunjung ke Jambatan Angkat (Drawbridge) Terengganu untuk meraikan detik 31 Ogos walaupun tiada program sambutan secara rasmi, ini secara tidak langsung menunjukkan perasaan kebersamaan rakyat dalam memberikan pernghargaan dan memperingati kemerdekaan.

Dr. Samsuri mencuba senjata yang dipamerkan.

"Cuma yang penting, ingatan saya kepada semua supaya dapat menjaga keselamatan dan kesihatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini supaya kita tidak mewujudkan kluster baharu dan kita mohon kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Demonstrasi Kapal, Bot dan Kelengkapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jambatan Angkat Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som dan Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim.

Hadir sama, Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn. Bhd., Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Sebanyak tujuh aset laut Maritim dan satu helikopter melakukan perarakan dan demonstrasi penyelamatan kapal yang ditahan lanun. selain itu, APMM turut mengadakan pameran Maritim Malaysia di galeri Skybridge yang akan berlangsung selama dua bulan.

Pasukan Tindakan Khas APMM mengadakan demonstrasi menyelamatkan kapal dirampas lanun.

 


Tag: