• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Sembilan Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Rumah musnah dijilat api.
Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 22 Mac - Suasana tenang sewaktu orang ramai sedang nyenyak tidur bertukar cemas akibat kebakaran membabitkan sebuah rumah yang berlaku di Kampung Tok Fakir, Merchang.

Pegawai Kebajikan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Tajudin Ibrahim berkata, kejadian yang berlaku pada 3.30 pagi tadi mengakibatkan mangsa kebakaran tinggal sehelai sepinggang apabila semuanya musnah dijilat api.

Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, memaklumkan bahawa kebajikan keluarga terbabit akan diberikan perhatian sepenuhnya.

"Kita bersimpati dengan apa yang telah terjadi ke atas keluarga mangsa.

"Di peringkat kawasan ini, kita akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai kaedah atau pilihan yang boleh diberikan oleh kerajaan untuk membantu keluarga ini yang telah kehilangan tempat kediaman mereka," jelasnya.

Sumbangan daripada wakil ADUN Pengkalan Berangan.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi serta menghulurkan sumbangan kepada keluarga terbabit, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah pegawai-pegawai Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Berangan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang.

Sementara itu, menurut mangsa kebakaran, Wan Mohd Rodin Wan Yaacob, 51, mereka sekeluarga redha dengan kejadian itu dan bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang terkorban.

Jelasnya, tragedi itu juga menyebabkan mereka terpaksa mencari tempat berteduh yang baharu.

Wan Mohd Rodin (kiri).
"Alhamdulillah, walaupun sedih, namun tiada  yang terkorban.

"Namun buat masa sekarang kami terpaksa tumpang berteduh di rumah saudara-mara," ujarnya.

Punca kebakaran masih disiasat oleh pihak berkuasa.


Tag: