• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Semua Pihak Perlu Cakna Soal Hak Dan Nafkah

KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Semua peringkat kepimpinan samada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu lebih cakna dan merancang resolusi sekiranya berlaku masalah berkaitan dengan hak dan nafkah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, masih ada ruang untuk meningkatkan kesedaran tanggungjawab nafkah yang terletak pada bahu suami atau ketua dalam sebuah keluarga.

Katanya, keperluan tersebut tidak boleh hanya diletakkan di bahu kaum hawa semata-mata dan sifat culas perlu dihindari dalam sesetengah suami.

“Pelbagai isu sekarang ini yang menyebabkan pengabaian nafkah terutama apabila kes penceraian dan pengabaian anak-anak jadi mangsa,” jelasnya.

"Diharapkan agar golongan lelaki yang berkeluarga memikul peranan dalam menguruskan rumah tangga dan jangan mengingkari perintah Allah SWT.

“Semoga program ini dapat menjentik kesedaran tentang hak wanita dalam menerima nafkah serta menambah kesedaran pihak suami melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Suara Hati Wanita siri kedua yang diadakan di Dewan Galeri A, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, di sini, pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) Terengganu, Wan Nur Sakinah Din menjelaskan, kesedaran kaum hawa berkaitan hak dan nafkah yang boleh dituntut oleh wanita amat penting kerana sebagai seorang wanita, ibu dan juga isteri.

Katanya, Islam telah menggariskan ada hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita dalam aspek rumah tangga tersebut.

“USWa berhasrat untuk menjadi agen penerangan dan pemudahcara kepada wanita Terengganu untuk memahami hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita serta mendedahkan saluran yang betul. 

“Suara Hati Wanita adalah satu program yang diadakan untuk menerangkan ilmu kepada perempuan terutamanya wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, program Suara Hati Wanita akan diadakan di setiap daerah menyasarkan kawasan yang memerlukan penerangan isu-isu berkaitan golongan hawa dan keluarga dengan penganjuran kali ketiganya memfokuskan 'Hak dan Nafkah Isteri; Siapa Peduli?'.