• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sepakat Jaga Keselamatan Kampung



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 24 Mac- Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR) Felda Jerangau telah bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengadakan rondaan malam bagi menjaga keselamatan Kampung.

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau Cawangan Satu, Mohd Ridhuan Mohd Yusoff berkata, kawalan keselamatan kampung itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kelab Rukun Tetangga (KRT) serta Rela.

"Gerakan Penerokawati Felda (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Pertubuhan GENERASI, dan seluruh pihak pengurusan Felda turut bersepakat mengawal dan menjaga keselamatan kampung bagi mencegah perkara mungkar, jenayah dan segala perkara yang tidak diingini terjadi.

"Kita tegah orang buat maksiat dan jenayah bukan di atas rasa benci, matlamatnya menjauhkan pelaku jenayah dan maksiat dari api neraka.

"Seterusnya bagi menjaga penduduk ataupun komuniti supaya berada didalam keadaan selamat, tanpa adanya perasaan bimbang terhadap perkara yang tidak diingini," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sesi taklimat yang diadakan di Dewan Sivik Felda Jerangau, semalam.

Katanya, hasil permuafakatan tersebut diharap dapat mengurangkan indeks jenayah di Felda Jerangau serta dapat membendung operasi kecurian dan aktiviti mengedar serta penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, keselamatan penduduk merupakan aspek yang paling penting untuk dijaga.

" Semua orang nak selamat, jadi mengaktifkan rondaan malam ini amat perlu kerana dengan adanya petugas yang menjaga keselamatan kampung ini menjadikan orang kampung berasa selamat.

“Kita perlu merasakan bahawa tanggungjawab ini besar dan InsyaAllah mendatangkan pahala yang buat para petugas," ujarnya.

Tag: