• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Serikandi Lancar Buku Koleksi Kuih Tradisional Terengganu


Halina menunjukkan buku koleksi makanan tradisi Terengganu, Selera Ganu Kite yang dilancarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Serikandi Kali Ke-31 di Hotel Permai, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) melancarkan buku koleksi kuih tradisional Terengganu, Selera Ganu Kite hari ini, sebagai medium memperkenalkan makanan tradisi negeri yang kian dilupai generasi muda dan mempromosikan produk pelancongan negeri Terengganu.

Buku bermuka surat 144 dengan paparan 143 jenis kuih-muih pelbagai citarasa unik dan menyelerakan yang berasal dari Terengganu.


Pelancaran buku yang diilhamkan Yang Dipertua Serikandi, To' Puan Seri Halina Zakaria bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Serikandi Kali Ke-31 di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Halina berkata, buat permulaan tiga naskhah buku itu dicetak bagi gimik pelancaran dan diikuti 1,000 unit lagi untuk diagihkan kepada jabatan kerajaan serta tetamu daripada negeri dan negara luar yang berkunjung ke Terengganu.


"Buku ini mula ditulis dan direkodkan secara bergambar sejak  2015 dan siap sepenuhnya pada awal tahun ini selepas membuat kajian serta penelitian kuih-muih serta makanan tradisi yang terdapat di Terengganu.

"Serikandi berharap agar dapat menjadi rujukan kepada semua pihak termasuklah pelajar untuk mengenali lebih mendalam tentang makanan tradisi Terengganu,"katanya.

Pelancaran buku dan perasmian mesyuarat agung itu disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan jawatankuasa serta ahli Serikandi.

Di majlis itu, Serikandi turut menerima bantuan pentadbiran berjumlah RM100,000 sumbangan Terengganu Incorporated (TI) yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Serikandi turut menyampaikan sumbangan bernilai RM300 seorang berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada 30 warga emas Melayu, Cina dan India yang kurang berkemampuan  di sekitar Kuala Terengganu.



Tag: