• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

SESMA Kuasa Baharu Muzik Gamelan Terengganu


Sekolah SESMA dinobatkan sebagai juara edisi 2019.
KUALA TERENGGANU, 24 September - Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang memperlihatkan persembahan berirama segar dan kreatif muncul sebagai juara Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Terengganu 2019 walaupun baru menyertainya buat kali pertama.

Dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Muzium Negeri sejak semalam, sekolah itu menewaskan 16 lagi sekolah yang bersaing kali ini.

Kemenangan itu melayakkan mereka untuk membawa pulang piala pusingan dan iringan bersama hadiah wang tunai RM1,500 serta sijil penghargaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyemai dan meningkatkan kecintaan terhadap seni muzik warisan negeri.

Katanya, penganjuran program kali keempat tersebut juga mampu mencungkil bakat-bakat baharu yang secara tidak langsung akan mewarisi budaya itu.

“Tahun ini kita boleh menyaksikan peningkatan daripada segi kualiti persembahan pasukan-pasukan yang bertanding termasuk sekolah yang baru kali pertama menyertai kejohanan ini.

SM Sains Hulu Terengganu turut menyajikan aksi yang memukau untuk menggondol tempat kedua
“Bagi penganjuran akan datang, Insya-Allah kita akan buka seluas-luasnya kepada sekolah yang ingin turut serta, namun penyertaan mereka juga bergantung kepada kelengkapan dan tenaga pengajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap dalam Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah pertandingan berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, naib johan pula disandang oleh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu dengan hadiah wang tunai RM1,000, dan tempat ketiga, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu sekali gus menerima hadiah RM750.

Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek menerima anugerah khas juri bagi persembahan gamelan Melayu tradisional.

Lain pasukan yang turut serta termasuklah dari SMK Tengku Mahmud, SMK Mak lagam, SMK Dato’ Haji Mohd Said, SMK Guntong, SMK Jenagor, SMK Padang Negara, SMK Seri Serating, SMK Ibrahim Fikri, SMK Bukit Diman, SMK Sultan Sulaiman, SMK Kompleks Gong Badak di samping MRSM Kuala Berang dan SMK Seri Nilam.

Ariffin Deraman berucap merasmikan majlis penutup.


Tag: