• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Setelah 22 Tahun... Geran Pengubat Luka

DUNGUN, 6 Mei- Selepas 22 tahun membuat permohonan untuk mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri akhirnya rezeki berpihak kepada mereka apabila diberikan geran sekali gus menjadi pengubat luka.

Mewakili rakan-rakannya, Mariatul Kibtiah Abas, 49 menceritakan, mereka yang tinggal sekampung di Kampung Pulau Serai memohon bersama-sama pada 22 tahun lepas ketika anak-anak masih lagi kecil.

"Adalah dengar ura-ura permohonan kami untuk mendapatkan tanah berdekatan dengan kampung berjaya, masa itu seronok tetapi mungkin bukan rezeki waktu itu.

"Alhamdulillah, kalau sudah rezeki, tidak ke mana... walaupun dah 22 tahun berlalu, tidak disangka-sangka, berjaya juga dapat hak milik dengan dapatnya geran walaupun tanahnya jauhlah sikit, tetapi kami tetap bersyukur," katanya yang merupakan peserta RTB By-pass Batu Tiong .

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran RTB di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini, semalam. 

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.

Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri Besar, Azman Shafawi Abdul Rani. 

Pada majlis tersebut, seramai 102 orang menerima geran tanah tapak rumah yang merupakan peserta-peserta RTB Tapak Rumah Rhu Batil II, Bypass Batu Tiong, Serdang, Tok Kah, Alor Mak Bah dan Kampung Paya, Balai Besar. 

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Nurul  Hidayah Ja'afar, 32 yang merupakan peserta RTB Rhu Batil, memuji kerajaan yang dilihatnya tidak pernah berhenti berusaha keras menunaikan satu demi satu janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Kalau kerajaan sebelum ini, janji-janji pilihan raya yang lepas hanya akan sibuk dilaksanakan bila hampir pilihan raya yang baru, tetapi ini tidak, saya sebagai ibu tunggal pun rasa sangat diambil berat oleh kerajaan. 

"Hari ini juga terbukti janji pilihan raya untuk beri satu lot tanah tapak rumah kepada rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas telah ditunaikan," ujarnya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berharap agar tanah yang sudah menjadi hak milik mestilah dibina rumah. 

"Jangan nanti dijual atau digadaikan kerana ini adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat dan membantu rakyat memiliki tanah  seterusnya dapat didirikan rumah di atas tanah tersebut," katanya. 


Tag: