• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Setelah Hampir Seabad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu Dibina Baru

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Hari ini terukir satu sejarah baharu dalam pembangunan infrastruktur Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan upacara pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu setelah lebih kurang 84 tahun urusan pentadbiran dan operasinya dilakukan di bangunan lama.

Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin berkata, terdahulu kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan perbelanjaan bagi pembinaan IPK Terengganu, dengan mengekalkan tapak yang telah sedia ada .

"Kerajaan sangat prihatin akan keperluan kakitangan IPK Terengganu seramai 993 orang mengikut perjawatan sedia ada, bagi menduduki sebuah bangunan yang baharu. Sejarah IPK Terengganu bermula dengan lokasinya di bangunan lama yang sedia ada sehingga kini dan telah dibina pada tahun 1937.

"Kerana kedudukannya berada di lokasi yang strategik iaitu di tengah-tengah bandaraya pesisir pantai negeri Terengganu Darul Iman, maka tapak sedia ada amat sesuai untuk dikekalkan," katanya ketika berucap merasmikan Upacara Pecah Tanah IPK Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa.

Menurut Hamzah, beliau amat mengharapkan pembinaan bangunan berkenaan akan memberi keselesaan kepada warga kerja PDRM Terengganu.

"Saya berharap dengan pembinaan IPK Terengganu bagi menggantikan bangunan lama ini, akan memberi keselesaan kepada warga kerja PDRM Terengganu.

"Selain itu akan dapat memberi motivasi kepada seluruh warga kerja untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik sekali," katanya.

Namun jelasnya, apa yang lebih penting baginya adalah keselesaan yang bakal dikecapi mampu memberi tumpuan terbaik kepada PDRM dalam usaha peningkatan prestasi kerja untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pembinaan IPK Terengganu di kawasan seluas 5.05 ekar, pada keseluruhannya akan menelan perbelanjaan sebanyak RM104 juta mengikut harga kontrak pembinaan di mana agensi pelaksana adalah syarikat PBLT Sdn. Bhd. Manakala kontraktor yang dilantik ialah Kubang Batang Puspa-Sari Sdn. Bhd.

Difahamkan ia akan merangkumi bangunan pentadbiran setinggi sembilan tingkat yang akan menempatkan 10 buah jabatan, bilik pejabat, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, auditorium dengan kapasiti 300 orang, kantin, taska dan sebagainya lagi.


Tag: