• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Setiap Ahad Hari Sajian Makanan Tradisional Terengganu


Ahmad Razif (kanan) dan isteri, Halina menunjukkan kuih tradisi Terengganu kepada tetamu di program Selera Rasa Terengganu 2018. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Kerajaan negeri bercadang supaya setiap Ahad dijadikan sebagai hari untuk hotel-hotel di negeri ini  menyajikan makanan tradisional dalam usaha memperkenal makanan tradisional Terengganu supaya tidak pupus ditelan zaman.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata usaha itu sebagai memastikan sajian makanan tradisional tempatan sentiasa  berada di dalam masyarakat kita.

"Makanan tradisi sentiasa menggamit jiwa. Sewaktu saya kecil dahulu, almarhum ibu yang sering buat pelbagai kuih. Jarang sekali kami beli di mana-mana.

"Paling saya ingati, kebab ikan yang sering ibu buat, ia sentiasa mengingatkan saya tentang suasana perpaduan dan keharmonian kita," katanya ketika merasmikan program Selera Rasa Terengganu 2018 di Kampung Cina, Kuala Terengganu, baru-baru ini. 

Turut hadir, isteri Menteri Besar,  To' Puan Seri Halina Zakaria.



Program itu menampilkan pelbagai gerai makanan tradisional Terengganu dari seluruh negeri.

Ahmad Razif turut memaklumkan, bahawa kerajaan negeri sedang berusaha memasarkan ikan celup tepung dan lempeng nyior untuk pasaran antarabangsa.

"Kita sedang mencuba teknologi untuk memastikan ikan celup tepung tahan lama dan jika berjaya, ia akan berada di mata dunia," katanya.





Tag: