• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Setiap Keluarga Perlu Dambakan Syurga Allah

DUNGUN, 9 April - Setiap keluarga muslim perlu mendambakan syurga Allah dengan berusaha mencari kebahagiaan di muka bumi ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata,  kebahagiaan hanya dapat diraih jika rumah tangga dikemudi dengan  kasih sayang kerana Allah SWT.

"Kerukunan rumah tangga akan terancam jika suami atau isteri gagal menjalankan amanah yang diikat ketika akad nikah, jangan ambil mudah perkara ini, kerana ianya satu perjanjian, laksanakanlah amanah dalam rumahtangga antaranya suami kena keluar bekerja menanggung nafkah keluarga," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika merasmikan Program Forum Bicara Keluarga Jannah, Indahnya Hidup Berkeluarga di Dewan Perpustakaan Dungun baru - baru ini.

Program  anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT) Dungun ini, turut dihadiri oleh  Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Keluarga)YPKT , Fauzi Abdul Ghani, Ketua Penolong Pengarah ( Komuniti)YPKT, Abdul Ghafar Mamat dan Pegawai YPKT Dungun  Wan Nor Hidayati Wan Ismail.

Forum tersebut adalah kesinambungan dari Program Walimatulurus Perdana yang dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Negeri Terengganu. 

"Menjadi hasrat kerajaan yang prihatin dan cakna dalam memastikan rakyat Negeri Terengganu ini mendapat pendedahan ilmu yang bermanfaat untuk menjalani kehidupan berkeluarga yang penuh cabaran," jelasnya. 


Tag: