• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Setiu Wetland Cycling Trail Tarikan Unik Penggemar Aktiviti Berbasikal

SETIU, 26 Disember - Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) mengisytiharkan Setiu Wetland Cycling Trail sebagai usaha mempromosikan kawasan tanah bencah berkenaan kepada orang ramai.

Laluan berbasikal sejauh 20km itu bermula dari Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands melalui Kampung Gong Batu, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri, Kampung Juna sebelum memasuki Kampung Pengkalan Gelap dan kembali ke Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands.

Sepanjang kayuhan, penunggang basikal akan melalui pelbagai ekosistem dan keunikan persekitaran Tanah Bencah Setiu yang berkeluasan 23,000 hektar keseluruhannya meliputi kawasan paya bakau, paya gelam, industri akuakultur, produk kraftangan, Savanah, kolam hijau, gerai jualan komuniti serta perkampungan nelayan yang amat bersesuaian sebagai laluan santai aktiviti berbasikal disamping menerokai alam semula jadi Tanah Bencah Setiu.

Pengarah MPTNT, YM Tengku Mohd Arifin Tangku A.Rahman berkata, pemilihan aktiviti berbasikal bagi memperkenalkan Setiu Wetland adalah disebabkan komuniti tersebut yang ramai terutamanya di kalangan rakyat Terengganu sendiri.

"Negeri kita juga dikatakan negeri basikal kerana telah banyak melahirkan pelumba bertaraf dunia.

"Mengambil kira kawasan ini sinonim dengan alam semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi dan juga budaya komuniti yang ada, kita mahu supaya semua ini dapat dikongsi dengan pengunjung dengan laluan tersebut meliputi 10 ekosistem yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian trail berkenaan yang disempurnakan YM Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, semalam.

 


Tag: