• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Setiu Wetland Terengganu, Mercu Tanda Baharu Eko-Pelancongan

YM Tengku Azam menunjukkan pembahagian ekosistem Setiu Wetland.
SETIU, 24 November - Dengan keluasan 23 ribu hektar dan memiliki sembilan ekosistem, Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali 'Setiu Wetland' merupakan tanah lembap terbesar di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri telah mewartakan sebahagian kawasan itu sebagai taman negeri untuk menjaga kelestarian ekosistemnya.

"Tanah bencah ini bakal memberi nafas baru kepada pembangunan di daerah Setiu khususnya dan di Negeri Terengganu amnya.

"Kerajaan negeri sedang meningkatkan usaha membangunkan taman negeri ini melalui lima kluster iaitu promosi, latihan kemahiran, pembangunan produk dan fasiliti, pemuliharaan serta institusi perniagaan.
Ariffin mahu Setiu Wetland menjadi mercu pembangunan daerah itu.
"Kita telah menaik taraf laluan masuk dan mengenal pasti produk-produk tempatan untuk meningkatkan ekonomi penduduk sekitar," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Broadwalk Setiu, Pengkalan Gelap kelmarin menyatakan keunikan 'wetland' itu memiliki kelebihan tersendiri berbanding tanah bencah lain.

"Kedudukannya yang berdepan dengan tiga pulau iaitu Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang menjadikannya destinasi strategik untuk persinggahan pelancong.

"Penggiat-penggiat industri pelancongan boleh mengambil peluang memperkenalkan Terengganu melalui pakej-pakej eko-pelancongan 'Setiu Wetland' yang inovatif, kreatif dan berbaloi.

"Keunikan dan kepelbagaian hidupan di sini sesuai dibangunkan sebagai produk 'edu-tourism'," katanya.

'Setiu Wetland' semenjak diwartakan telah menjadi tumpuan penyelidikan dan eko-pelancongan kerana keunikan alam dan hidupannya.

Lawatan kerja sehari itu turut disertai Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengetua Wetland School of Setiu, YM Tengku Azam Tengku Mat.
Menyusuri Wetland merupakan salah satu tarikan unik di sini.




Tag: