• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sewa Lori, Jengkaut Selesai Masalah Sampah Pasca Banjir

KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Kerajaan negeri melaksanakan mobilisasi sumber perkhidmatan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah pasca banjir di kawasan dilanda bencana itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut termasuk sewaan lori oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing.

“Kebiasaannya selepas banjir akan berlaku situasi dimana banyak sampah-sampah pukal seperti perabot, tilam rosak dan lain-lain yang dilonggokan di tempat pembuangan sampah domestik sekali gus menambahkan lagi jumlah sampah yang terpaksa diangkut oleh kontraktor yang dilantik.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya telah mengarahkan Pejabat DUN untuk menyewa lori dan jengkaut swasta bagi membantu mengangkut sampah dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang sepatutnya,” ujarnya bagi mengulas isu longgokan sampah selepas banjir ketika ditemui pemberita di Duyong Marina Resort, hari ini.

Beliau memaklumkan, semua kos sewaan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Pusat pelupusan sampah utama di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus yang ditenggelami air baru-baru ini juga telah dibuka semula.

“Justeru, dengan kombinasi jentera pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dilantik serta sewaan oleh Pejabat DUN, masalah longgokan sampah ini akan selesai dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, laluan ke pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan yang dinaiki air ketika banjir baru-baru ini turut menyebabkan berlaku kesesakan di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang.

“Disebabkan pusat pelupusan sampah di Sungai Ikan tidak boleh operasi ketika itu, jentera Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kontraktor dilantik terpaksa menghantar sampah di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang.

“Oleh kerana jarak agak jauh dan bilangan lori bertambah dari dua daerah melibatkan Marang dan Kuala Terengganu maka berlakulah kesesakan lori ditempat pelupusan sampah di Marang yang mana pemandu-pemandu terpaksa beratur panjang dan memperlahankan urusan.

“Jarak yang jauh juga menyebabkan jumlah ‘trip’ yang dapat dipenuhi untuk satu hari itu berkurangan, menyebabkan kontraktor tidak dapat mengangkut keseluruhan sampah dengan segera sebagaimana biasa,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan rakyat faham dengan situasi banjir luar jangka pada kali ini yang menyebabkan seluruh daerah terjejas.