lightning-solid
Berita :
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
Zahid Mustafar
07 Sep 25
281

KUALA TERENGGANU, 7 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang akan berlangsung pada 14 September di BDB Hotel & Suites, Jitra, Kedah dijangka menjadi pentas penting mengangkat isu Palestin ke perhatian dunia Islam.

Program anjuran State Government 4 (SG4) yang dianggotai Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu bakal menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, sarjana, aktivis kemanusiaan serta NGO antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum ini akan membina jaringan strategik merentas sempadan. 

"MUNIF 2025 ini bakal menghimpunkan para pemimpin gerakan Islam, sarjana dan aktivis kemanusiaan, serta NGO antarabangsa di bawah satu platform strategik.

"Matlamat dan fokus utama forum ini ialah memperkukuhkan sinergi kerja dan kolaborasi strategik antara pertubuhan Islam antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara," katanya ketika Sidang Media Pra-Pelancaran MUNIF 2025 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau, Palestin menjadi agenda utama kerana ia menyentuh perasaan umat Islam sejagat. 

"Bagi tahun ini, fokus kita ialah kepada isu pembebasan Baitul Maqdis dan juga isu penindasan ke atas rakyat Palestin di Gaza.

"Justeru, saya menyeru kepada NGO-NGO dan juga individu yang prihatin terhadap isu ini untuk sama-sama memberikan sokongan dan dokongan," ujar beliau.

MUNIF 2025 turut menegaskan tiga agenda utama iaitu menyelamatkan Gaza daripada kezaliman Zionis, membebaskan Masjid Al-Aqsa serta mempertahankan kedudukan Baitulmaqdis, dan merangka tindakan segera yang praktikal. 

"Strateginya merangkumi empat aspek: kemanusiaan dengan bantuan segera, diplomasi melalui gerakan politik antarabangsa, ekonomi menerusi boikot berkesan dan dana ummah, serta media bagi melawan propaganda Zionis dengan naratif benar," tegas beliau.

Muhammad Khalil menjelaskan, penyertaan peserta luar negara akan memperkukuhkan solidariti serantau. 

"Kita jangkakan kehadiran peserta dari luar negara seperti dari negara-negara ASEAN, khususnya negara berdekatan seperti Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Sri Lanka, termasuk juga Turki, Pakistan dan Bangladesh. 

"Sekurang-kurangnya, kita mengambil satu pendekatan untuk terus memberikan kesedaran kepada masyarakat dan umat Islam tentang isu besar dunia Islam," tambahnya.

Beliau menegaskan forum ini bukan sekadar wacana simbolik, sebaliknya usaha praktikal menghidupkan perjuangan Palestin. 

"Supaya kita sentiasa hidupkan isu ini dengan pelbagai program. 

"MUNIF 2025 adalah simbol kebangkitan solidariti umat Islam untuk Al-Aqsa, Gaza dan Palestin," ujarnya.

Forum ini dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis dengan penganjuran bersama Kerajaan Negeri SG4 serta kerjasama NGO termasuk Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Isra’, Cakna Palestin, Yayasan Permata Ummah dan I-Aware.


Artikel Berkaitan