lightning-solid
Berita :
SG4 Tetap Manfaatkan Kuasa PBT Hentikan Pengeluaran Lesen Premis Judi
SG4 Tetap Manfaatkan Kuasa PBT Hentikan Pengeluaran Lesen Premis Judi
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
39

SETIU, 19 Ogos – Hasrat kerajaan negeri di bawah gabungan SG4 untuk menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian terus berdepan kekangan perundangan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan tindakan berkenaan sebagai tidak berpelembagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu berlandaskan skop perundangan negara yang meletakkan pelesenan aktiviti perjudian secara eksklusif di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pentadbiran negeri-negeri berkenaan tidak berpeluk tubuh sebaliknya memaksimalkan ruang kawalan menerusi kuasa pelesenan premis perniagaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Hakikatnya Kerajaan Negeri tidak ada bidang kuasa untuk mengharamkan judi kerana lesen asas dikeluarkan di peringkat Persekutuan oleh MOF. Namun, ruang yang ada di bawah Undang-Undang PBT digunakan sepenuhnya untuk tidak meluluskan lesen premis perniagaan perjudian.

“Prinsipnya mudah, jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua. Buatlah apa yang termampu dalam bidang kuasa yang ada untuk mencegah kemungkaran dan menyuruh kepada kebaikan,” jelas beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai istilah tidak berpelembagaan (unconstitutional) , Dr Azman menjelaskan ia merujuk kepada sebarang tindakan, peraturan, atau undang-undang yang bertentangan dengan prinsip serta undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan itu sekali gus membawa maksud bahawa sebarang kelulusan atau dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pusat tidak boleh dihalang secara mutlak di peringkat Kerajaan Negeri.

Pendekatan menyekat lesen premis melalui PBT sebelum ini telah dilaksanakan oleh negeri-negeri bawah pentadbiran SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis sebagai usaha berterusan membasmi aktiviti pertaruhan di premis perniagaan.

 


Tag :

Artikel Berkaitan