• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sheikh Nuruddin Mulakan Jelajah Taalim Di Kemaman

KEMAMAN, 19 Mac - Jelajah Taalim Murobbi Nusantara Negeri Terengganu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dimulakan di Kemaman, baru-baru ini.

Hampir 700 orang telah hadir memenuhi ruang dalam program Bicara Israk Mikraj yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dapat mengadakan majlis ilmu yang sangat bermakna bersempena memperingati kisah Israk & Mikraj.

"Semua orang yang beragama Islam sedang menyambut kedatangan Israk Mikraj, namun apa yang penting kisah dan pengajaran di sebalik kisah itu dapat kita jadikan iktibar dan yang baik perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian.

"Sebagai contoh, kalaulah setiap hari kita dapat hadir beramai-ramai solat berjemaaah di masjid seperti sekarang ini, alangkah bahagianya hidup kita.

'Tetapi inilah antara perkara yang sangat jarang berlaku. Namun begitu, marilah kita berazam agar dapat sentiasa melaksanakan solat berjemaah di masjid seperti saranan kerajaan negeri yang mengadakan kempen "JOM! Solat Berjemaah," ujarnya dalam ucapan aluan program itu.

Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu merupakan penganjur dalam program itu.

Program itu turut mendapat kerjasama oleh Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) yang bertanggungjawab membawa Tuan Guru Sheikh Nuruddin dalam jelajah di negeri Terengganu pada kali ini.

 

 


Tag: